Skip to main content

My Favourites
Looks like you’ve not added any property to your favourites. Select which property type you would like to check out below.
Residential
Commercial
Industrial
NEW!
Get in touch
Feel free to reach out to us about any inquiries, feedback, and suggestions.
TOLL FREE LINE

1-800-88-1118

Outside Malaysia

+603-7849 5000

CLOSE
I'm interested in
Perdana Menteri Lancar Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa 1!
Fill in the form below, and we’ll
get in touch with you soon!
Tell us what you’re
looking for
Home Residential Commercial NEW! Industrial Leisure Sustainability Investor Relations Property Investment Who We Are Find Us Careers Media Centre
< NEWS
Perdana Menteri Lancar Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa 1

PAGOH, 27 MAC 2021 – Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Haji Mohd Yassin telah menyempurnakan pelancaran Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa 1, Pagoh hari ini.

Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa 1 merupakan satu lagi inisiatif pembangunan yang diterajui Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor dengan Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) sebagai Pemaju Induk.

Visi Zon Ekonomi Khas Pagoh ialah untuk memacu aktiviti ekonomi dan perindustrian di Pagoh seterusnya menjadikan Wilayah Utara Johor sebagai sebuah ekonomi berimpak tinggi menjelang tahun 2045.

Visi Zon Ekonomi Khas Pagoh disokong melalui empat aspirasi iaitu menjadikan Pagoh sebagai enjin pembangunan Wilayah Utara Johor, transformasi Pagoh sebagai sebuah perbandaran lestari dan moden, pewujudan kawasan perindustrian yang berteraskan Hab Pendidikan, menjadikan jalinan kerjasama sektor awam dan swasta sebagai tanda aras untuk kolaborasi akan datang.

Zon Ekonomi Khas Pagoh akan dibangunkan berteraskan empat tonggak utama iaitu membina pencetus ekonomi untuk menarik pelaburan, pemodenan industri tradisional, pengukuhan kolaborasi industri-akademia, dan penggerakkan inisiatif pembangunan ekonomi yang inklusif untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada pembangunan ini.

Sime Darby Property Berhad akan membangunkan fasa pertama seluas 850 ekar untuk menempatkan Taman Perindustrian dan Taman Keusahawanan dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.1 bilion. Pembangunan kedua-dua komponen ini akan mengambil masa selama lima hingga tujuh tahun untuk dibangunkan sepenuhnya.

Taman Perindustrian dalam fasa pertama yang berkeluasan 430 ekar akan menawarkan 212 lot perindustrian. Taman Keusahawanan bersebelahan Taman Perindustrian akan menawarkan 33 lot komersial di atas kawasan seluas 420 ekar.

Majlis pelancaran Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa 1 tersebut juga turut menyaksikan pemeteraian Surat Niat atau Letter of Intent di antara Sime Darby Property dan syarikat- syarikat yang telah bersetuju untuk menempatkan aktiviti perniagaan mereka di Taman Perindustrian dan Taman Keusahawanan yang akan dibangunkan.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Dato’ Azmir Merican memaklumkan bahawa Zon Ekonomi Khas Pagoh dirancang untuk menarik pelaburan sektor swasta dan pelaburan asing selari dengan objektif untuk menyusun semula sektor perindustrian di Pagoh dengan memberi tumpuan kepada industri sasaran yang bersesuaian dan selaras dengan kelebihan daya saing Pagoh.

Dato’ Azmir Merican menambah, “Fasa pertama Zon Ekonomi Khas Pagoh ini akan memanfaatkan pembangunan sedia ada yang telah dibina di Bandar Universiti Pagoh di mana Sime Darby Property mempunyai lebih 4,000 ekar untuk pembangunan perumahan, komersial dan perindustrian sehingga 2051. Perbandaran bersepadu jangka panjang ini mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM6.9 bilion dan setakat ini kami telah melaburkan sebanyak RM550 juta.”

“Rancangan di bawah fasa pertama ini yang merangkumi pembangunan Taman Perindustrian dan Taman Keusahawanan berkeluasan 850 ekar juga akan melengkapi kemudahan yang tersedia di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh dan seterusnya menjadi pemangkin baru bagi mencetus semula aktiviti ekonomi di kawasan ini” tambahnya lagi.

Lokasi Pagoh yang terletak di Wilayah Utara Johor, bersebelahan dengan Lebuhraya Utara Selatan – di antara Kuala Lumpur dan Singapura serta jumlah pegangan tanah yang boleh dibangunkan secara lestari menjadikan Pagoh sebagai platform yang sesuai bagi merancakkan lagi pembangunan dan pemodenan di kawasan ini. Lokasi Pagoh juga terletak di tengah-tengah daerah-daerah yang aktiviti ekonominya dipandu oleh kegiatan perindustrian, pembuatan dan pertanian seperti Segamat, Tangkak, Muar dan Batu Pahat. Ini menjadikan Pagoh sebuah lokasi yang tepat sebagai pusat aktiviti ekonomi yang mampan dan lestari.

Pagoh juga merupakan lokasi Hab Pendidikan Tinggi bersepadu yang pertama di rantau ASEAN dan kini menempatkan empat kampus Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN) yang dapat menampung kapasiti pelajar seramai 10,800 orang berserta dengan pelbagai kemudahan gunasama seperti kompleks sukan, perpustakaan dan dewan konvensyen.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, “Kerajaan komited untuk menyediakan suasana yang kondusif melalui beberapa insentif fiskal dan bukan fiskal untuk menarik minat pelabur asing dan tempatan yang berkelayakan untuk merangsang pertumbuhan pesat di Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa 1. Sebagai contoh, pelabur yang berkelayakan boleh melanjutkan permohonan di bawah pakej galakan istimewa bagi kawasan Zon Ekonomi Khas Pagoh yang menawarkan pengecualian cukai pendapatan, duti setem, dan cukai jualan selama 5 tahun ke atas syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti utama yang disasarkan.”

Kerajaan juga akan memperkenalkan program-program pembangunan keupayaan untuk meningkatkan peluang penyertaan dalam Zon Ekonomi Khas Pagoh ini secara saksama. Sama ada melalui Pusat Pembangunan Kerjaya, Pusat Inovasi Komuniti di IPTA-IPTA dan Program Kolaborasi antara Industri dan Komuniti untuk meningkatkan penciptaan nilai bersama. Kesemua program pembangunan ini akan mengambil pendekatan inklusif di mana peningkatan akses kepada peluang pekerjaan dan keusahawanan akan dijalankan bagi kepentingan seluruh rakyat di negeri Johor secara khususnya dan Malaysia secara amnya.

Melangkah ke hadapan, Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri telah melantik Johor Corporation untuk menjalankan kajian yang terperinci berkenaan impak ekonomi daripada pewujudan Zon Ekonomi Khas untuk menentukan halatuju fasa-fasa berikutnya. Turut hadir untuk ke majlis pelancaran ini ialah YB Tuan Haji Mohd Solihan bin Badri, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor selaku wakil Kerajaan Negeri, Tuan Haji Mustaffa Kamal bin Dato’ Haji Shamsudin, Pegawai Daerah Muar, dan Ketua-ketua Jabatan Agensi Persekutuan dan Negeri.

***TAMAT***

Mengenai Sime Darby Property

Sime Darby Property adalah pemaju hartanah terkemuka dengan kadar kejayaan yang kukuh dalam membangunkan komuniti lestari selama lebih dari 48 tahun. Dengan 24 bandar dan pembangunan yang aktif, Sime Darby Property mempunyai jangkauan luas yang merangkumi aset dan operasi di seluruh negara. Sime Darby Property menandakan kehadirannya di UK melalui penglibatannya sebagai sebahagian daripada konsortium Malaysia untuk membangunkan Projek Stesen Janakuasa Battersea di London.

Sebagai ahli korporat yang bertanggungjawab, Sime Darby Property dan kumpulan dermawannya Yayasan Sime Darby (YSD) secara aktif melancarkan pelbagai usaha untuk membantu komuniti kurang berkemampuan yang tinggal di dalam dan berdekatan kawasan perbandarannya di seluruh negara. Sebagai syarikat hartanah yang memenangi pelbagai anugerah dengan pelbagai penghargaan antarabangsa dan tempatan, Sime Darby Property adalah satu-satunya pemaju hartanah Malaysia yang terpilih sebagai komponen indeks Dow Jones Sustainability Indices (DJSI) untuk dua tahun berturut-turut pada tahun 2018 dan 2019.

Ia juga merupakan syarikat pemaju hartanah Malaysia yang pertama dianugerahkan International FIABCI Prix d’Excellence Awards sebanyak dua kali untuk perbandaran Subang Jaya dan UEP Subang Jaya. Syarikat ini meraih emas yang ke-10 secara berturut-turut di Putra Brand Awards 2019 dan yang ke-9 di Top 10 Developers Awards di BCI Asia 2020.

Sime Darby Property juga telah diiktiraf sebagai salah satu pemaju hartanah teratas di Malaysia di dalam The Edge Top Property Developers Awards tahunan, satu pengiktirafan yang sering diterima oleh syarikat ini secara konsisten sejak 2009. Untuk maklumat lebih lanjut, log masuk ke www.simedarbyproperty.com

Hubungan media

Izzat Alhadjri
Head, Corporate Communications
Sime Darby Property
+6019 218 0792 izzat.abdul.aziz@simedarbyproperty.com

Nursyahida Abdullah
Head, PR and Editorial
Sime Darby Property
+6013 363 1090 nursyahida.abdullah@simedarbyproperty.com

Tell us what you’re
looking for